Maklumat Asas KBD

1. PENDAHULUAN
KBD merupakan kurikulum baru yang dibina secara bersama oleh KPM, LEPAI dan Jabatan/ Yayasan Agama berdasarkan kurikulum agama-arab yang dikenali sebagai Kurikulum Dini/ Azhari yang dilaksanakan di sekolah-sekolah agama di Malaysia termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat. Setelah melihat pemintaan yang tinggi dan keperluan penyelarasan bagi tujuan penambahbaikan terhadap kurikulum ini KPM dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan majoriti Pihak Berkuasa Agama Negeri dan mengambil keputusan untuk mengangkat kurikulum ini sebagai kurikulum kebangsaan. Justeru, satu panduan yang jelas perlu diterbitkan bagi melancarkan pelaksanaanya di sekolah perlu di, maka panduan ini dihasilkan. Buku ini secara umumnya mengandungi dasar-dasar utama serta tatacara pelaksanaan kurikulum ini di sekolah untuk rujukan di pihak KPM, JPN, PPD, LPS SABK dan sekolah sendiri.
 

2. PUNCA KUASA
Dalam melaksanakan kurikulum ini beberapa punca kuasa yang penting telah diperolehi dari pihak-pihak yang berkaitan. Punca kuasa tersebut adalah seperti berikut:


2.1.Jawatankuasa Kurikulum Agama, Lembaga Penasihat Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyelaraskan Kurikulum Dini bagi kegunaan SAN, SAR dan SABK. Dalam mesyuarat pada 15 Jun 2012, Jawatankuasa ini telah bersetuju terhadap cadangan KPM untuk menjadikan Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan dengan mengguna pakai kurikulum yang telah diselaraskan sebagai asas Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz Kebangsaan.


2.2.Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP) KPM dalam mesyuarat Bil. 3/2012 pada 25 Jun 2012 telah bersetuju terhadap cadangan menjadikan Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan.

2.3.Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan KPM Kali Ke-200 yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Pelajaran pada 26 Julai 2012 juga bersetuju dengan cadangan menjadikan Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan. 

2.4.Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-54 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak pada 03 Disember 2012 telah bersetuju supaya Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz digunakan sebagai Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama yang telah mendaftar sebagai SABK. Kurikulum tersebut dinamakan sebagai Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).


2.5.Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-231 yang bersidang pada 27 Februari 2013 telah bersetuju mengambil maklum dan  memperkenankan cadangan ini setelah dibentangkan oleh pihak LEPAI dengan kerjasama KPM.


2.6.Surat persetujuan telah diterima daripada Pihak Berkuasa Negeri yang akan melaksanakan KBD dan KBT di SABK masing-masing. Dengan persetujuan ini, pelaksanaan KBD dan KBT di SABK adalah selari dengan MoU pendaftaran SABK yang menyatakan bahawa pelaksanaan Kurikulum Azhari di sekolah-sekolah agama hendaklah diurus oleh kerajaan negeri sehinggalah kurikulum-kurikulum tersebut diselaraskan dan dijadikan sebahagian daripada kurikulum kebangsaan.
 

3. LATAR BELAKANG
Program Pendaftaran SAR dan SAN sebagai SABK merupakan satu program yang telah membuka mata banyak pihak tentang kurikulum Dini/ Azhari di sekolah agama.Program yang tercetus daripada Laporan JK Tan Sri Murad dan dipersetujui oleh YAB Perdana Menteri ketika itu telah membawa masuk sekolah-sekolah agama rakyat dan negeri yang menggunakan dwi-kurikulum ke arus perdana. Pelaksanaan dwi-kurikulum di SABK setelah berlakunya pendaftaran menunjukkan bahawa terdapat ruang-ruang yang masih boleh ditambahbaik bagi menjamin kecemerlangan murid dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan agama. Resolusi Seminar Pemantapan Kurikulum SABK peringkat Kebangsaan 2008 Port Dickson telah menyatakan bahawa Kurikulum Dini/ Azhari perlu diselaraskan dan diangkan menjadi kurikulum kebangsaan. Persidangan Ketua-ketua/ Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia kali ke-86, pada 25-27 Mei 2011 di Kangar Perlis telah bersetuju dengan cadangan Kurikulum Dini di selaras dan diangkat menjadi kurikulum kebangsaan. Pihak LEPAI dan JAKIM telah mengetuai usaha-usaha penyelarasan kurikulum Dini Azhari yang dilaksanakan di negeri-negeri. Usaha-usaha tersebut kemudiannya diselaraskan dengan KPM dalam kerangka memartabat dan mengangkat kurikulum Dini sebagai kurikulum Kebangsaan sehinggalah KBD dan KBT yang berasaskan Kurikulum Dini/ Azhari akhirnya diperkenalkan.. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Gelombang 1 dalam perkara “Mengukuhkan laluan pendidikan agama” telah menyatakan bahawa “ ..kementerian beriltizam menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi melengkapkan murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Kementerian akan 
memperkukuhkan pelaksanaan kurikulum kebangsaan di sekolah agama dengan mengangkat kurikulum Dini dan Tahfiz sebagai kurikulum kebangsaan serta menerapkan unsur-unsur agama ke dalam kurikulum kebangsaan”. Oleh itu KPM mengeluarkan Dokumen Standard Kurikulum bagi KBD sebagai rujukan untuk pelaksanaannya.


4. KEPENTINGAN KURIKULUM BERSEPADU DINI
KBD diwujudkan bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Islam dan bagi merealisasikan hasrat PPPM. 

4.1. Aspirasi Sistem
Melalui pelaksanaan KBD negara dapat menawarkan kepada warganegara yang memerlukan pendidikan aliran agama kepada anakanak
mereka dan seterusnya mengukuhkan pendidikan agama di dalam aliran perdana.Ini akan memberikan lebih peluang kepada murid di dalam
menentukan laluan kerjaya mereka. KBD yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar akan
mempertingkatkan kualiti komunikasi dan berbahasa serta mampu merujuk asas-asas ilmu pengetahuan dalam kitab-kitab muktabar. Kesatuan dalam menghayati manhaj ahli sunnah wal jamaah dan menjadi norma rujukan contoh, model sahsiah yang unggul Murid yang dilahirkan berpotensi memenuhi keperluan modal insan yang mampu menyumbang dalam kemajuan ekonomi negara dalam pelbagai sektor.


4.2. Kepentingan KBD kepada Murid
KBD berperanan mempertingkat keupayaan murid berasaskan aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu
memastikan murid-murid menguasai pengetahuan, Kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan
identiti nasional.  Aspek pengetahuan kurikulum ini akan mengembangkan potensi dan keupayaan murid dalam ilmu agama dan bahasa Arab. Kurikulum ini juga dapat mengembangkan Kemahiran berfikir murid melalui pelbagai kaedah, pendekatan dan teknik pembelajaran dan pengajaran dengan menerapkan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).  Dalam konteks Kemahiran memimpin, pendidikan dini akan mendokong
dan memperkukuh empat (4) dimensi kepimpinan iaitu kemahiran entrepeneurship, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan kemahiran
komunikasi yang berkesan berasaskan pemahaman dan penghayatan dalil-dalil naqli serta penyantunan kepada sub ilmu dalam pendidikan
shariah, usuluddin dan bahasa Arab. Kurikulum ini yang menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar mampu memberi kelebihan dan nilai tambah kepada murid dalam penguasaan bahasa selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris (Kemahiran dwibahasa). Murid-murid yang mengikuti kurikulum dini berupaya memperkukuh etika dan kerohanian bagi mendepani cabaran masa hadapan. Mereka diharapkan dapat menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip dalam situasi kritikal serta dapat membuat keputusan yang betul dan tepat berdasarkan prinsip Islam sebenar. Kurikulum dini ini akan mengukuh prinsip Islam sebagai agama persekutuan di samping prinsip pertama rukun negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Kurikulum ini digubal berdasarkan manhaj ahli al-Sunnah wa al-Jamaah dan pandangan muktabar Mazhab Shafie serta ketetapan institusi pihak-pihak berkuasa agama Islam di Malaysia. (Identiti nasional) Dengan KBD murid akan mengikuti setiap mata pelajaran dalam sistem kurikulum yang selaras sehingga ke peringkat SPM. Kurikulum dini di SABK akan memenuhi 6 ciri utama aspirasi murid dalam PPPM dan berupaya bersaing diperingkat global. 

4.3. Kepentingan KBD Kepada Guru
Guru dini ditawarkan skim yang sama seperti guru lain di bawah KPM tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan. Mereka akan menjalani latihan perguruan dan memperoleh peluang pembangunan kerjaya yang menarik berasaskan prestasi dan kompetensi. 

4.4. Kepentingan KBD Kepada Sekolah SABK yang melaksanakan KBD layak menerima bantuan per kapita mata pelajaran seperti mata pelajaran kebangsaan yang lain. Di samping itu, sekolah layak menerima Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Prinsip ini di selaraskan dengan aspirasi sistem dalam PPPM yang berkaitan dengan kemampuan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Dengan itu semua SABK yang terlibat akan dapat
diperkukuhkan. 


4.5. Kepentingan KBD Kepada Masyarakat, Bangsa dan Agama Kurikulum dini digubal untuk menyediakan bakal ulama dan cendikiawan Islam yang berkaliber dan bertaraf dunia. Untuk itu kurikulum ini berhasrat melahirkan agamawan yang muthaqqaf ke arah mencapai keredhaan Allah.
Kefahaman yang sahih dari kurikulum ini dapat menjadi asas kukuh mempertahankan kesucian agama Islam dari ajaran sesat dan menyeleweng supaya masyarakat dapat menghindar diri dari kumpulan songsang yang sering muncul dalam masyarakat.


4.6. Kepentingan KBD Kepada Negara
Menyediakan Negara Malaysia sebagai hub pendidikan agama Islam bertaraf dunia.


5. KONSEP KURIKULUM BERSEPADU DINI
Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) adalah penggabungan Kurikulum Dini/ Azhari yang telah diselaraskan dengan Kurikulum Kebangsaan sedia ada dalam arus perdana. Mata pelajaran KBD menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. 

6. MATLAMAT
Menyediakan murid-murid yang seimbang dan cemerlang melalui KBD berasaskan naqli dan ‘aqli bagi menyediakan bakal ulama dan agamawan muthaqqaf.
 

7. OBJEKTIF
Antara objektif utama dalam pelaksanaan KBD adalah seperti berikut:
 

7.1. memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran KBD dan KBT di sekolah;
7.2. menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan kepada KBD dan KBT dengan Kurikulum Kebangsaan;
7.3. menyelaraskan pengurusan KBD dan KBT antara KPM, LEPAI dan Pihak Berkuasa Negeri,
7.4. membekalkan Guru Dini dan Guru Tahfiz yang terlatih dan setaraf dengan guru-guru KPM dari segi perjawatan; dan
7.5. menggilap potensi dan keupayaan pelajar melalui kurikulum yang dapat menyediakan individu yang seimbang dan berketrampilan dalam kedua-dua bidang ilmu naqli dan ‘aqli.
 

8. STRUKTUR KURIKULUM BERSEPADU DINI
Pelaksanaan KBD mengekalkan mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dengan sedikit perubahan dari segi peruntukan waktu minimum seminggu dan penambahan mata pelajaran Dini dalam kurikulum kebangsaan. Bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) pelaksanaannya adalah secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan pihak sekolah. Tempoh masa suatu waktu adalah empat puluh (40) minit.
 

8.1. Senarai Mata Pelajaran Dini
a) Usul al-Din

Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Tauhid, al-Tafsir, al-Hadis, al-Sirah wa Tarikh al-Islam, al-Akhlak wa al-Tasawwuf.
b) Al-Syariah
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Quran wa a-Hifz, Fiqh al-Ibadat, Fiqh al-Munakahat, Fiqh-al-Muamalat, Fiqh-al-Jinayat.
c) Al-Lughah al-Arabiah al-Mu`asirah
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Istima` wa al-Kalam, al-Qiraah, al-Kitabah, al-Mutalaah wa al-Ta’bir, al-Nahu wa al-Sarf.
d) Manahij al-Ulum al- Islamiyah
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Mantiq, Usul al-Fiqh. 

e) Al-Adab wa al-Balaghah Mata pelajaran ini merangkumi bidang al- Adab wa al-Nusus, al-Balaghah.


8.2. Pakej mata pelajaran bersama agihan waktu minimum seminggu mata pelajaran seperti di lampiran 1a dan 1b.
 

9. PELAKSANAAN KURIKULUM BERSEPADU DINI
9.1. Dasar Penetapan Sekolah
a) KBD hanya akan dilaksanakan di SABK yang telah dipersetujui oleh Pihak Berkuasa Negeri.
b) Penetapan awal bagi aliran KBD atau KBT mengikut operasi sedia ada sejajar dengan kurikulum semasa.
c) Sekolah boleh melaksanakan sama ada salah satu aliran KBD atau KBT, atau kedua-dua sekali bergantung kepada perbincangan bersama antara KPM dan LPS.
d) Pertukaran, pertambahan dan penutupan sebarang aliran adalah berdasarkan permohonan dan kelulusan oleh pihak KPM.

e) Sekolah mestilah melaksanakan secara keseluruhan mata pelajaran mengikut pakej-pakej yang telah ditetapkan.


9.2. Bahasa Pengantar bagi Mata Pelajaran 

Bahasa Pengantar bagi Mata Pelajaran Dini dalam KBD ialah Bahasa Arab manakala mata pelajaran KBSM adalah dalam bahasa Melayu
atau bahasa Inggeris.


9.3. Jadual Waktu Persekolahan
Jadual waktu persekolahan mesti memenuhi hak peruntukan waktu minimum seminggu bagi setiap mata pelajaran. Tempoh masa bagi
satu waktu ada empat puluh (40) minit. Contoh jadual adalah seperti lampiran 2a dan 2b.


9.4. Struktur Organisasi
Struktur organisasi pengurusan KBD terdiri daripada Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) Pendidikan Islam, ketua-ketua panitia mata pelajaran dan guru-guru mata pelajaran. Carta organisasi pengurusan KBD adalah seperti di lampiran 3.


9.5. Bantuan Geran Perkapita
Sekolah-sekolah yang melaksanakan KBD berhak menerima Geran Perkapita Mata pelajaran mengikut kadar yang dicadangkan oleh KPM
dengan kelulusan daripada Kementerian Kewangan. 


9.6. Pentaksiran
Pentaksiran bagi KBD dijalankan mengikut sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PBS ini melibatkan empat elemen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan ujian psikometrik.


9.7. Pelaporan dan Pensijilan
Di peringkat menengah rendah, murid-murid akan menerima pelaporan berikut :
a) Pelaporan pentaksiran sekolah

b) Pelaporan pentaksiran pusat melalui PT3
c) Pelaporan Pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum
d) Pelaporan psikometrik 

Di peringkat menengah atas murid-murid akan menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menunjukkan gred bagi setiap mata pelajaran KBD yang diduduki. 

9.8. Guru
Keperluan guru untuk pelaksanaan KBD adalah Guru Dini. Guru Dini bertanggungjawab menguruskan tiga mata pelajaran peringkat menengah rendah iaitu al-Syariah, Usul al- Din dan Al-Lughah al-Arabiah al-Muasirah.
a) Bekalan guru Dini adalah di bawah tanggungjawab KPM. Norma guru adalah tertakluk kepada kelulusan Agensi Pusat.
b) Dasar waktu mengajar guru seminggu adalah 26 waktu.
c) Penetapan guru adalah berdasarkan satu guru bagi satu mata pelajaran.
d) Bagi pelaksanaan tahun 2015 jika terdapat keadaan di mana Guru Dini tidak dapat dibekalkan sepenuhnya kepada sekolah maka pihak sekolah perlu menguruskan Guru Dini dengan norma sedia ada. Guru-guru Dini boleh terdiri daripada:
i. Guru Dini/ Azhari LPS yang sedia ada di sekolah dengan keizinan daripada pihak LPS.
ii. Guru Pendidikan Islam KPM sedia ada di sekolah yang mempunyai kemahiran dalam mata pelajaran Dini dan berkemampuan dalam mengendalikan PdP menggunakan bahasa Arab.
iii. Guru Bahasa Arab KPM sedia ada di sekolah yang mempunyai kemahiran dalam mata pelajaran Dini dan berkemampuan dalam mengendalikan PdP menggunakan bahasa Arab.

9.9. Buku Teks
Murid-murid KBD akan dibekalkan buku teks oleh KPM berdasarkan syarat-syarat Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).


Di peringkat menengah rendah murid-murid akan dibekalkan pakej buku teks yang merangkumi:
1. Usul al-Din 
2. Al-Syariah 
3. Al-Lughah al-Arabiah al-Muasirah Al-lughah al-Arabiah al-Muasirah


Di peringkat menengah atas murid-murid akan dibekalkan pakej buku teks yang merangkumi:
1. Usul al-Din
2. Al-Syariah
3. Al-Lughah al-Arabiah al-Muasirah


Murid-murid yang mengikuti aliran Dini Tulen akan menerima dua tambahan buku teks seperti berikut:
1. Manahij al-Ulum al-Islamiyah 
2. Al-Adab wa al-Balaghah 


9.10. Pengambilan Murid
Pengambilan murid bagi sekolah-sekolah yang melaksanakan KBD adalah berdasarkan prosedur pengambilan murid yang ditetapkan oleh pihak LPS.

9.11. Kokurikulum
Aktiviti Kokurikulum dilaksanakan mengikut dasar pelaksanaan kokurikulum sedia ada KPM. Dua persatuan akademik baharu diwujudkan iaitu Persatuan Usul al-Din dan Persatuan al-Syariah sebagai menggantikan Persatuan Pendidikan Islam di samping meneruskan Persatuan Bahasa Arab.


9.12. Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran Pelaksanaan KKQ diteruskan di SABK yang melaksanakan KBD mengikut dasar pelaksanaan sedia ada.


10.PENUTUP
Kejayaan pelaksanaan KBD amat bergantung kepada pihak pelaksana di sekolah. Komitmen yang tinggi dan usaha gigih ke arah menjayakan kurikulum baru di bawah kerangka meningkatkan kualiti pendidikan Islam amat ditagih dari semua pihak.